Asmidar Menang Vokal Bukan Sekadar Rupa

WANG tunai RM50,000 dan trofi sudah cukup untuk membuatkan pelajar Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Norhasmidar Ahmad atau Asmidar tersenyum puas sebagai juara program realiti TV, Vokal – Bukan Sekadar Rupa.

Namun, ramai pula berpendapat Asmidar tidak berdepan banyak sangat isu rupa kalau dibandingkan dengan peserta lain kerana dia masih dianggap menarik seperti kebanyakan penyanyi sedia ada.

Bagaimanapun, mungkin rezeki sudah tersirat untuk Asmidar muncul juara kerana rupa menarik adalah satu bonus. Selama berminggu-minggu ke udara, program itu memang sedaya upaya cuba memberikan ruang sama rata kepada peserta lain yang berbadan besar untuk mencuba nasib serta menonjolkan bakat mereka di depan mata juri dan penonton. Acara kemuncak itu berlangsung di Studio Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, kelmarin. Asmidar, 25, menewaskan saingan terdekat, Mafarikha Md Akhir atau Mafa, 19, yang membawa pulang wang RM30,000 berserta trofi kemenangan.

Asmidar sebelum itu perlu bersaing hebat sebanyak tiga pusingan dengan pencabar terdekatnya dalam konsert peringkat akhir itu, Mafa yang turut mempunyai kelebihan tersendiri.

Tirai konsert akhir dimulakan dengan persembahan hos program, Faizal Ismail (FBI) yang menyanyikan lagu hit kumpulan Maroon 5, Moves Like Jagger yang turut menampilkan penampilan khas, penyanyi handalan, Adibah Noor.

Persembahan terbabit mengundang tawa penonton dan juga juri tetap program itu, Azmeer dan Erra Fazira. Suatu kelainan diletakkan apabila Faizal diberi penghormatan untuk memulakan majlis dan percubaan itu ternyata berjaya kerana penonton terhibur dengan aksi bersahaja penyampai Hot FM itu. Penonton di studio turut ‘sporting’ dengan sentiasa tepuk tangan dan kelihatan teruja apabila setiap kali Faizal mengumumkan kemunculan kedua-dua pesaing akhir yang akan membuat persembahan pada malam itu.

Pusingan pertama menyaksikan persembahan lagu pilihan mereka dengan Asmidar memilih menyanyikan lagu klasik Frank Sinatra, My Way sementara Mafa memilih lagu hit P Ramlee, Jangan Tinggal Daku.

Pada setiap pusingan yang dijalankan, juri perlu memilih seorang antara Asmidar dan Mafa sebagai peserta yang dilihat menonjolkan kekuatan vokal yang mantap dan dinamik sepanjang penyampaian lagu.

Kedua-dua juri tetap, Erra dan Azmeer serta juri jemputan, Ziana Zain rata-rata memuji persembahan kedua-dua mereka yang dilihat semakin matang.

Persembahan pada malam itu diteruskan dengan pusingan kedua apabila peserta menyampaikan lagu baru yang dicipta khas untuk mereka. Asmidar menyampaikan lagu ciptaan komposer terkenal, Ajai bertajuk Biar Sampai Ke Bintang.

Selain itu, Asmidar menyampaikan lagu itu dengan penuh penghayatan dan seakan-akan serasi dengan lagu itu walaupun setiap peserta hanya mempunyai enam hari saja untuk menghafalnya.

Finalis yang berasal dari Perak, Mafa pula mengalunkan lagu baru ciptaan komposer Audi Mok. Pada mulanya, Mafa kelihatan selesa menyampaikan lagu itu, tetapi kebanyakan penonton bersetuju dengan komen Erra yang mengatakan suara Mafa kedengaran tenggelam terutama pada bahagian ‘low note’.

Lagu ‘catchy’ yang bercorak pantas itu walau bagaimanapun turut menghiburkan dengan irama muzik yang segar ditonjolkan Audi Mok. Satu kelainan yang diterapkan program Vokal – Bukan Sekadar Rupa adalah segmen Battle yang mula diperkenalkan pada minggu ketujuh lalu.

Penerbit eksekutifnya, Muhammad Sufian Che Isa, berkata segmen Battle adalah tugasan yang mencabar kepada finalis selain memberi kelainan dan keunikan yang tidak ada pada mana-mana program realiti TV lain. “Oleh itu, kedua-dua finalis, Asmidar dan Mafa perlu bijak mengatur strategi untuk menonjolkan kehebatan masing-masing selain mencabar pesaing dengan pemilihan lagu yang tepat,” katanya.

Asmidar memilih lagu Datuk M Daud Kilau bertajuk Laksamana Raja Li Laut sementara Mafa memilih lagu Hurt nyanyian Christina Aquilera.

Pusingan Battle ini ternyata memihak kepada Asmidar di mana ketiga-tiga juri terpukau dengan penyampaian lagu oleh Asmidar yang dikatakan sangat ‘versatile’ serta Azmeer turut menyatakan Asmidar merupakan salah satu penyanyi yang dapat mengawal pernafasannya dengan begitu baik.

Malam kemuncak itu turut dimeriahkan dengan penampilan bekas peserta program itu seperti Azmarul, Irsa, Fakhrul dan Boby yang menyampaikan gabungan lagu Cinta Tak Harus Memiliki, Someone Like You, Gerhana dan Tapi Bukan Aku sebelum menutup tirai konsert dengan nyanyian lagu tema Aksi Suara disampaikan bersama Adibah Noor.

Format pemarkahan dibahagikan kepada dua bahagian iaitu 50 peratus daripada juri dan 50 peratus lagi melalui undian SMS.

Asmidar yang ditemui pada sidang media sejurus tamat konsert itu berkata, dia langsung tidak menduga menjadi juara kerana merasakan Mafa adalah pesaing yang sangat hebat.

Sambil mengucapkan rasa kesyukuran atas kemenangan itu, Asmidar mahu menggunakan wang habuan itu untuk menghasilkan ‘single’ terbaru selain mempromosikan lagu Biar Sampai ke Bintang.

Mafa, sementara itu tetap bersyukur biarpun tidak meraih gelaran juara kerana baginya adalah lebih penting untuk membuktikan kepada masyarakat di luar sana yang sebelum ini lebih kerap memandang rupa..

 

 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Comments

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

CommentLuv badge